PAKAR USM KUPAS ISU PASCA-BANJIR: BERTENANG ATAU BERSEDIA
USM PULAU PINANG, 24 Februari 2023 - Satu perbincangan berilmiah telah berlangsung hari ini secara dalam talian mengenai situasi bencana banjir yang kerap kali berlaku di negara Malaysia ini. Pusat Pengurusan Bencana (Nerve Centre) Universiti Sains Malaysia (USM) telah menganjurkan program bertajuk Pasca-Banjir: Bertenang atau Bersedia ini dengan penampilan khas 2 panel berpengalaman bagi membicarakan isu ini iaitu Pengarah Kampus Kejuruteraan USM, Profesor Dato’ Dr. Nor Azazi Zakaria yang juga merupakan seorang pakar mengenai saliran air merangkap Pengarah REDAC dan seorang lagi panel yang datang dari pantai timur iaitu Penyelaras Pusat Pengurusan Bencana (Nerve Centre) Kampus Kesihatan, Dr. Mohd Shaharudin Shah.
Program ini dihadiri hampir 600 peserta secara dalam talian yang melibatkan warga kampus termasuk pelajar USM dan pakar dari seluruh Malaysia bagi mendapatkan pelbagai maklumat dan berkongsi pengalaman semasa menghadapi bencana banjir di seluruh negara. Pelbagai informasi terkini yang berguna dapat dikupaskan oleh panel terutamanya bagaimana menguruskan bencana dan persediaan menghadapinya. Nor Azazi juga turut menekankan golongan belia perlu cakna dan membantu negara bagi menghadapi dan sentiasa bersedia apabila bencana berlaku. Moderator bagi program ini, Yang Di-Pertua Majlis Perwakilan Pelajar USM, Encik Afirul Idris Ayub Khan turut memainkan peranan yang baik kerana sebagai wakil belia, beliau menekankan bahawa belia juga mampu memberi impak positif semasa mengendali program sebegini rupa.
Di akhir bicara, Mohd Shaharudin turut menekankan bahawa pihaknya sentiasa bersedia dalam segala aspek termasuk penyediaan kelengkapan termasuk menaik taraf Pusat Pemindahan di Kampus Kubang Kerian sebagai Pusat Pemindahan Sementara Khas khususnya kepada para pesakit dan peneman dari Hospital Universiti Sains Malaysia selain menempatkan warga kampus yang lain.
Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah & Tuan Mohd Salman Tuan Mohd Jaffar
Foto: PPB (Nerve Centre)
Created on 24 February 2023.