PEGAWAI MAJLIS KESUKARELAWAN UNIVERSITI MALAYSIA BERJAYA TAMAT KURSUS PENSIJILAN BENCANA
Pengurusan bencana termasuk sukarelawan atau khidmat masyarakat dilihat sebagai satu platform terbaik dalam memecahkan tembok serta merapatkan jurang antara dua pihak iaitu universiti dan masyarakat.
Justeru itu, aktiviti ini semakin giat dijalankan demi membantu masyarakat yang dalam kesusahan selain dijadikan nilai tambah dalam melahirkan warga Universiti Sains Malaysia sentiasa kehadapan dalam bidang Pengurusan Bencana.
Salah seorang pegawai dari Pusat Pengurusan Bencana, Tuan Mohd Salman Bin Tuan Mohd Jaffar telah menamatkan Kursus Pensijilan Pengurusan Bencana di University of Melbourne, Australia dalam bidang Disaster Management Essential. Kursus Pensijilan Pengurusan Bencana telah berlangsung pada 5 Jun hingga 9 September lalu dan mendapat sokongan Bahagian Mahasiswa Holistik, Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Beliau terlibat bersama 22 pegawai daripada Universiti Awam dan merupakan kumpulan antarabangsa pertama yang mengikuti modul pengurusan bencana di bawah kelolaan University Of Melbourne. Selain itu, kursus juga telah disempurnakan dengan penyampaian sijil yang disampaikan Timbalan Ketua, Jabatan Penjagaan Kritikal (Department of Critical Care), University of Melbourne, Profesor George Braitberg.