PPBNC PERKASA HALATUJU PENGURUSAN BENCANA USM
PULAU PINANG, 7 September 2022 - Pusat Pengurusan Bencana Nerve Centre (PPBNC) Universiti Sains Malaysia (USM) memantapkan lagi fungsi dan peranannya ke satu tahap lagi apabila telah berjaya melaksanakan dokumentasi blueprint pengurusan bencana untuk USM.
Menurut Pengarah PPBNC, Profesor Dr. Sivamurugan Pandian, blueprint ini dihasilkan bagi kesiapsiagaan untuk memantapkan halatuju dan kedudukan PPBNC serta merangka misi dan visi yang lebih jelas untuk warga universiti justeru keprihatinan terhadap warga universiti dapat ditingkatkan lagi ke tahap yang lebih optimum.
“Blueprint ini memberi penekanan terhadap 5 teras utama iaitu Bencana, Kesukarelawanan, Wabak Penyakit, Kesihatan Mental dan Krisis,” jelasnya ketika sesi rumusan dan majlis penutup Bengkel Blueprint PPBNC hari ini.
Sementara itu, bagi Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan pula, program ini merupakan satu inisiatif yang sangat baik untuk universiti dalam memperkasakan pengurusan bencana di peringkat universiti untuk warganya serta masyarakat.
“Pengalaman terdahulu telah mengajar USM untuk terus kehadapan dalam pengurusan bencana dan lebih bersedia jika perkara sedemikian berlaku lagi di masa hadapan, justeru itu, PPBNC perlu mengorak langkah dalam menghadapi cabaran ke hadapan,” jelasnya ketika merasmikan penutup bengkel.
Tambahnya, setiap strategi teras yang direncanakan perlulah mempunyai kerjasama dan libatsama dengan pihak/agensi luar dan tidak melibatkan tugasan dalaman semata-mata bagi menggalakkan jaringan.
Turut hadir sama ialah Timbalan Naib Canselor (Kelestarian & Pembangunan Institusi) USM, Profesor Md Roslan Hashim.
Nerve Centre (NC) ditubuhkan ekoran pandemik COVID-19 yang melanda negara pada Mac 2020. NC pada ketika itu berperanan sebagai “nadi” kampus bagi mengekang penularan wabak COVID-19 khususnya dalam kampus (Induk, Kejuruteraan, Kesihatan, KLE).
Pada Januari 2022, NC secara rasminya ditubuhkan menjadi sebuah Pusat Pengurusan Bencana Nerve Centre (PPBNC) dan fungsinya telah diluaskan.
PPBNC Induk kini beroperasi di Bangunan TORAY-USM yang sentiasa siap siaga dengan sebarang bencana atau kecemasan yang melibatkan warga kampus.
Teks : Hafiz Meah Ghouse Meah
Foto : Ebrahim Abdul Manan